Friday, August 14, 2009

Fasa perubahan Idola anak-anak: Lentur Buluh Biar Dari Rebungnya..


Sekadar pengkongsian..
Fasa 1 : sejak mengenal dunia hingga lingkungan 7 tahun.
Pada peringkat ibu bapa adalah hero dan idola. Anak-anak akan meneliti dan mencontohi setiap yang dilakuakan oleh ibu bapa dan segala yang dilakukan oleh ibu bapa adalah yang terbaik. Pada ketika ini mereka lebih mendengar apa yang dikatakan oleh ibu bapa mereka sendiri berbanding orang lain.

Maka pada peringkat ini ibubapa perlu mengambil ruang sepenuhnya serta bersungguh-sungguh dalam pembentukan ruh Islam anak-anak. Waktu ini adalah waktu yang sesuai untuk menerapkan aqidah islamiyyah dan budaya hidup Islam supaya sebati dengan jiwa mereka seterusnya menunjukkan cara hidup Islam adalah yang terbaik supaya mereka lebih tegar menghadapi arus cabaran jahiliyyah yang mungkin menanti pada masa akan datang. Ini adalah penting supaya mereka terbiasa dan terus membesar dalam keadaan yang positif dan ibu bapa perlu memulakannya dengan menjadi contoh yang terbaik. Namun fenomena yang sering berlaku tika ini ibu-bapa beralasan yang anak-anak masih kecil untuk tidak membiasakan mereka dengan cara kehidupan Islam contohnya dalam penutupan aurat. Khususnya pemakaian tudung kepada anak-anak perempuan, bersolat dan lain-lain. Oleh itu, lenturlah buluh biar dari rebungnya..




Fasa 2: Alam sekolah rendah

Pada ketika ini lebih memerhatikan dan membenarkan apa yang dilakukan oleh guru sekolahnya. Sering kita melihat anak cilik yang balik dari sekolah berkata. ” mak, cikgu adik kata kan... Mak, ustazah along cakap xboleh buat macam tu.... n lain-lain” adakalanya anak-anak lebih membenarkan apa yang dilakukan oleh guru mereka berbanding ibubapa. Maka ketika ini, guru perlu betul-betul memainkan peranan dengan menerapkan nilai-nilai Islam dalam pengajaran. Jadilah guru yang bersifat murobbi yang mana kita bukan hanya mengajar tetapi mendidik anak-anak murid kita kearah perubahan tingkahlaku menjadi insan yang soleh dan muslih. Bukanlah bermaksud ibubapa perlu melepas tangan kepada guru, ibubapa tetap murobbi yang utama untuk anak-anak supaya menjadi hambaNYA yang taat. Tanpa didikan yang baik dari ibubapa dari peringkat awal, mungkin ketika ini input positif yang diberikan oleh guru pun tidak akan masuk ke dalam kotak minda dan hati anak-anak. Maka, lenturlah bulah biar dari rebungnya…




Fasa 3 : Alam remaja (bermula dari sekolah menengah)..

Fasa ini merupakan fasa yang kritikal yang dalam pembentukan sahsiah anak-anak. Fasa ini merupakan fasa remaja banyak mengalami konflik diri lantaran dari proses transisi ke arah dewasa. Pada ketika ini mereka biasanya akan mengalami konflik diri untuk menentukan identiti diri dan halatuju diri. Mereka berada dalam situasi yang tersepit dan sering berfikir”aku nak jadi orang macamana...aku dah besar nak jadi apa dan sebagainya” . Pada fasa ini anak-anak akan lebih melihat kepada kawan-kawan mereka dari guru dan ibubapa. Adakalanya segalanya pun akan dikongsi dengan sahabat handai berbanding ibubapa masing-masing.. Mereka akan berkongsi hobi, melakukan aktiviti bersama dan sebagainya. Pada fasa ini silap memilih kawan buruklah padahnya. Oleh itu, ibu bapa perlu memantau dengan siapa anak-anak berkawan. Soleh sahabat-sahabat anak, I. Allah solehlah anak kita. Kawan akan yang baik akan membawa kebaikan, sebaliknya yang jahat membawa kemudaratan.




Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Teman yang baik dan teman yang tidak baik itu diumpamakan seperti pembawa kasturi dan peniup api, maka si pembawa kasturi mungkin memberikan kasturi itu kepada kamu atau kamu dapat membelinya, atau kamu dapat mencium baunya yang wangi. Bagaimanapun peniup api mungkin membakar pakaianmu atau kamu dapat mencium baunya yang busuk." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).



Namun, ibubapa tetap perlu mendidik anak-anak dari awal lagi dengan menanam cintakan Islam dan cara hidup Islam. Kerana bagaimana kita ingin anak-anak kita suka berkawan dengan sahabat yang soleh sedangkan diri mereka tidak ditanam untuk suka kepada hidup yang soleh dan kawan yang soleh dari awal. Konklusinya sebelum terlambat, lenturlah buluh bermula dari rebungnya....

Thursday, June 4, 2009

Pendidikan Islam Dari Rumah

Kemelut keruntuhan akhlak di kalangan remaja muslim pada hari ini semakin merunsingkan. Penyakit jahil terhadap Allah dan pengabaian terhadap amanah diri sebagai hambaNya semakin kronik lantaran nafsu dalam diri yang sentiasa dibajai. Kuman kejahiliyyahan ini begitu mudah berjangkit bagaikan wabak virus yang tiada vaksin. yang mana ia bukan sahaja membunuh pengidapnya tetapi seluruh masa depan mereka dan mungkin generasi-generasi masa hadapan jika tidak diubati segera. walaupun telah tersedia vaksin yang amat mujarab bagi mereka iaitu kembali kepada Al-quran dan Assunah, namun mengapa kemelut ini terus berlaku dan terus berlaku. Siapa yang patut dipersalahkan? diri mereka sendiri? ibu bapa? atau guru-guru yang mendidik mereka.?

Rentetan dari perkara ini membuatkan ana merenung kembali, betapa peri pentingnya mendidik dan membentuk anak-anak bermula dari rumah yang mana proses pentarbiyyahan perlu bermula dari kandungan sehingga dewasa. Maka, ibu-bapa dan ahli keluarga perlu bertanggungjawab serta sedar pendidikan Islam yang bermula dari rumah penting dalam membenteng anak-anak dari kancah kejahiliyyahan seperti perintah Allah dan Rasul.

Surah At-Tahrim ayat 4 yang bermaksud :
“ Peliharalah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya dari manusia dan batu”

Hadis nabi dari Ibnu Jarir yang bermaksud:
“ Suruhlah anak-anakmu melakukan apa yang diperintahNya dan tinggallah apa yang dilarang-Nya, kerana yang demikian menjadi benteng bagi mereka dari api neraka”

Pentarbiyyahan Islam yang bersifat rabbani perlu diterap dalam diri anak-anak. Adalah sangat penting menanam aqidah yang teguh dalam diri mereka sejak mereka lahir lagi. Melihat keteguhan iman anak-anak cilik di palestin. Dalam keadaan bumi mereka setiap masa terdedah dengan ledakan bom dan pihak musuh durjana di sana sini, namun anak-anak cilik mereka masih berani keluar rumah untuk bermain dan sebagainya. Kenapa? Kerana di hati mereka hanya takutkan Allah.. Subhanallah..

I.allah jika ada Allah dalam hati kita, diri kita akan takut untuk membuat kema’siatan. Diri akan terdorong untuk sentiasa melakukan kebaikan. Begitu juga suasananya dengan remaja pada hari ini jika mereka mendapat pendidikan Islam yang sempurna. Oleh itu, ibu pada harus menjadi pencatur yang baik dalam membentuk anak-anak mereka, hidup berkualiti yang berteraskan aqidah yang ampuh dan cara hidup Islam perlu dibudayakan. supaya anak-anak jelas cara hidup Islam adalah cara hidup yang terbaik dan mereka tidak mudah longlai bila terdedah dalam dunia kini yang semakin bejat. Maka jelas di sini, pentingnya penterbiyyahan yang bermula dari rumah dalam membentuk produk-produk muslim yang berkualiti, yang teguh dan berguna untuk Islam serta pembangunan ummah..wallahua'lam

Wednesday, June 3, 2009

Perjuangan perlu diteruskan..

Melihat suasana masyarakat dari kampus dan terjun ke dalam masyarakat merupakan suatu yang berbeza. Pengalaman sebagai sebagai guru merupakan suatu pengalaman yang sangat berharga pada diri ini. Tanggal 29 mei 09, merupakan hari terakhir ana sbg guru.. rasa sedih, risau dan lega bercampur baur dalam diri. Rasa sedih meninggalkan rakan-rakan guru yang banyak membantu, risau untuk meninggalkan anak-anak didik yang dahagakan ilmu dan bimbingan dan rasa sedikit lega kerana terlepas satu amanah yang amat berat pada diri ini.

Biarlah hari semalam berlalu pergi, walaupun masih ada rasa sedih dalam diri, walau terasa payah, masa depan tetap perlu ditempuhi.. Diri ini perlu kuat meniti hari-hari pentarbiyyahan diri, yang mana pengakhirannya telah tersurat dalam kitab suci..akhirat yang abadi.. Semoga Allah beri kemudahan…

Ya Allah.. Berikanlah kekuatan pada diri ini. HambaMu ini langsung tiada daya tanpa qudrat dan iradatMu.. ameen


Saturday, May 30, 2009

ruh & ilmu

Ilmu tanpa amal sia-sia dan beramal tanpa ilmu kita akan sesat. Kekuatan ruh berkait rapat dengan akal, ilmu, amalan, akhlak serta gaya hidup setiap individu muslim. Kekuatan ruh akan menjana seorang individu muslim bila digandingkan dengan ilmu yang mantap.

Ilmu tanpa amal…. adalah perkara yang sering kita lihat berlaku di sekeliling kita, dan mungkin termasuk diri kita. Akhirnya segala ilmu yang ada dalam dada mungkin akan berlalu bagai angin lalu kerana tidak di amalkan. Sesungguhnya memang suatu mujahadah yang besar bagi semua individu termasuk diri yang hina ini untuk mengamalkan segala ilmu yang kita ada. Jadi, bagaimana?

Kekuatan ruh berkaitan dengan pengamalan ilmu dalam diri. Dalam kita memutuskan untuk melakukan setiap perkara dalam hidup walhal dalam perkara yang kecil sekalipun, akan berlaku proses pertimbangan yang mana akan melibatkan ruh, akal, hati, dan nafsu. Individu yang ruhiahnya kuat, dirinya akan mendahulukan ilmu (akal) manakala individu yang ruhiahnya lemah akan mendahulukan nafsu dalam memutuskan setiap perkara yang ingin dilakukannya.

Sebagai contoh: Antara membaca buku ilmiah dan tidur. Apabila ruhiah kita kuat kita akan mengikut tafsiran akal berdasarkan ilmu bahawa membaca buku itu perkara yang baik dan disukai Allah, maka kita akan membaca buku. Sebaliknya dalam keadaan ruhiah kita lemah, mungkin kita akan lupa apa yang kita tahu tentang kelebihan berbaca buku atau kita tidak lupa tetapi buat-buat tidak tahu lantasan nafsu yang lebih menguasai diri berbanding ruh, maka kita akan tidur. Wallahua’lam..

Sesungguhnya diri yang berkata-kata ini akan diuji terlebih dahulu.. berikanlah kekuatan kepadaku ya Allah..

Mari kita perbanyakkan makanan bagi ruh kita.. subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar..

Friday, May 1, 2009

Bermula dari diri kita..

Setelah beberapa lama pena maya ana tidak mencoret sesuatu, tika ini diri ni suka untuk berkongsi sedikit pengalaman sebagai guru sekolah menengah dalam beberapa bulan ini. Suatu yang menyedihkan, fenomena kejahiliyyahan yang melanda remaja Islam begitu merisaukan hati ini. Lantaran rasa tanggungjawab sebagai muslim, walaupun bukan sebagai guru agama, perkara yang saban hari ana persoalkan pada setiap murid muslim tika masuk ke kelas.

“ Kamu solat cukup x 5 waktu setiap hari?” soalku. “Tak,cikgu”, Jawab seorang murid muslim tanpa segan silu. “kamu?”, soal ana pada pelajar yang lain. “Confirm tidak”, jawabnya.. Ana ajukan lagi persoalan tersebut kepada pelajar-pelajar lain, akhirnya jawapannya adalah, “tidak, tidak, tidak dan tidak”. Mendengar jawapan “ cukup cikgu” adalah satu kegembiraan dan kesyukuran yang tidak terhingga bagi diri ini.

“ Kamu tau x solat ni wajib?” , Solat apa yang kamu selalu tinggal? Soal ana. “saya solat maghrib je cikgu sebab sembahyang kat masjid”, Jawab seorang pelajar. “ saya selalu tinggal subuh sebab bangun lambat cikgu”, jawab pelajar lain. Saya dah lama x solat cikgu, saya muda lagi la cikgu, saya pun xtau bila saya nak bertaubat” Terang seorang pelajar lelaki. “ Cikgu!” Panggil seorang pelajar perempuan. “ Cikgu, kalau kita warna rambut solat x diterima kan cikgu? Saya baru tahu warnakan rambut tu haram cikgu. Jadi saya x solat la cikgu sebab apa guna solat kalau x diterima. Ramai budak perempuan sekolah ni yang warnakan rambut cikgu”, cerita seoarang pelajar perempuan sambil membuka sedikit belakang tudungnya menunjukkan rambutnya yang berwarna merah.

Budaya bertepuk tampar, berpegang sana sini dan couple antara pelajar lelaki dan perempuan bagai perkara biasa berlaku di depan mata. Setiap hari untuk mendepani anak bangsa dan seagama terasa bagai satu amanah yang amat-amat besar pada diri ini. Dalam 9 kelas yang ana ajar boleh dibilang dengan jari yang mengatakan mereka cukup solat 5 waktu setiap hari. Sehinggakan perkara asas dalam Islam seperti tidak boleh bercouple, tidak boleh warnakan rambut, tidak boleh berpegang sana sini antara bukan mahram bagai baru pertama kali didengari oleh mereka.

Namun bila semakin lama mendekati pelajar-pelajar ini, nyata menunjukkan mereka dahagakan bimbingan agama lantaran minat bereka untuk bertanya pelbagai soalan berkenaan hal-hal agama terutamanya mengenai hal hukum-hakam agama kepada ana. Berikutan itu ana sering menceritakan kisah-kisah teladan, kepentingan beramal cara hidup muslim dan sebagainya. Sehingga sampai suatu ketika mereka meminta-minta untuk ana menceritakan tentang hal agama dan memberi pengisian sesuatu kepada ana.

Sahabat-sahabat..Suatu perkara yang ana ingin tekankan di sini, adalah dalam suasana kebejatan akhlak dan sosial umat Islam pada masa kini kita perlu bertindak. Kita harus mendekati mereka dengan pelbagai kreativiti, ruang dan peluang yang kita ada. Jangan terus mengkum mereka dan kemudian menjauhi mereka. Sebenarnya ramai yang mahu bimbingan dari kita. Segalanya bergantung kepada kita untuk memulakannya.Wallahua’lam.

Ya ALLAH, beri kekuatan kepada diri kami untuk menegakkan Islam dalam diri dan di sekeliling kami. Ameen.

Monday, March 2, 2009

MATLAMAT DAKWAH : Muhasabah bersama.

Pada kali ini, diri yang lemah ini terpanggil untuk mengupas tentang situasi-situasi terkini badan dakwah atau organisasi Islam dewasa ini yang adakalanya dalam kerancakan merangka, menyusun dan melaksanakan gerak kerja dakwah sehingga sedikit tersasar dari matlamat serta tugas utama dakwah itu sendiri. Bila mana menyebut organisasi atau jemaah Islam pastilah ia dibina berdasarkan Islam dan pelaksanaan serta orientasi gerak kerja dakwah @ manhaj perjuangan yang disusun berdasarkan Al-Quran dan Sunnah serta mempunyai matlamat yang jelas di samping mempunyai tanzim yang tersusun untuk menambahkan lagi keberkesanan dakwah dan islah.

Menyingkap kembali matlamat dakwah ialah menyeru atau mengembalikan manusia ke arah pengabdian yang mutlak atau menyeluruh hanya kepada Allah S.W.T. Ini bermaksud segala yang dirangka dalam gerak kerja dakwah perlu bermatlamatkan perkara ini iaitu mengajak mnusia ke arah ubudiah atau bertakwa kepada Allah dan menolak thaghut yang mana merupakan intipati dalam dakwah. Maka segala strategi dakwah perlu disusun dan dirangka mengandungi intipati ini iaitu, ‘ taqwa kepada Allah’ yang mana jelas dan terang matlamat akhirnya nanti manusia atau mad’u akan terjurus untuk kembali mengabdikan diri secara mutlak kepada Allah.

Pengabdian yang menyeluruh kepada Allah S.W.T boleh dicapai tertegaknya Islam dalam fardil muslim, baitul muslim, mujtama’ muslim dan yang paling berkesan dengan terbinanya daulah Islamiyah yang mana peringkat-peringkat ini merupakan matlamat khusus sesuatu harakah atau jemaah islamiyyah.

Merenung kembali dalil atau kewajipan berjemaah yang ditetapkan oleh ulama’ berdasarkan qawaidul fiqh:
“ Tidak sempurna sesuatu yang wajib melainkan dengannya ia menjadi wajib”

Berdasarkan kaedah fiqh ini, sepertimana yang kita ketahui umat Islam berkewajipan (wajib fardhu ain) untuk berdakwah berdasarkan banyak dalil antaranya dalam surah Ali-Imran:110:

110. Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah.

Dalam kondisi semasa ini untuk menegakkan Islam kita tidak mampu untuk berdakwah berseorangan. Maka berdasarkan kaedah fiqh di atas,berjemaah yang asalnya hanya perkata hajiat menjadi wajib untuk melaksanakan dakwah yang wajib kerana dakwah tidak sempurna dilakukan secara berseorangan. Maka, kesimpulannya berjemaah menjadi wajib untuk melaksanakan dakwah yang wajib.

Justeru itu, jelas di sini bahawa ‘core business’ suatu jemaah itu adalah untuk menjalankan dakwah yang mana intipati dakwah itu perlu berasaskan taqwa untuk mengembalikan umat manusia ke arah pengabdian yang semata-mata kepada Allah Yang Maha Esa.

Konklusinya, setiap strategi dakwah perlu disusun, dirangka dan jelas matlamat serta halatuju akhirnya iaitu mengajak manusia kembali ubudiah secara mutlak kepada ALLAH. Jangan sampai “syok sendiri” merangka pelbagai strategi dakwah tetapi tidak menuju matlamat dakwah yang sebenar. Nauzubillah.

“Semoga diri ini thabat dalam dalam dakwah hingga ke nafas yang terakhir.. ameen”

Sunday, February 15, 2009

Unsur Tarbiyyah : Perlu penekanan

Ana ingin berkongsi dan mengupas perkongsian yang pernah diberikan oleh seorang murabbi yang cukup memberi kesan kepada diri ana tentang elemen atau unsur Tarbiyyah yang mana Tarbiyyah perlu mendasari 4 perkara ini. Iaitu:

1. Ruh

2. Akal

3. Hati

4. Nafsu.


Dalam pentarbiyyah seseorang individu itu samada kepada diri sendiri atau individu lain tarbiyah perlu menyentuh ke empat-unsur ini untuk merubah tingkahlaku@ peribadi seseorang itu ke arah yang lebih baik. Tanpa 4 elemen ini pentarbiyyahan seseorang individu itu tidak berkesan


Ruh


Unsur yang yang paling penting sekali ialah ruh. Lemahnya ruh mendorong jiwa mati, hati kotor, nafsu bermaharaja dalam diri, akal mudah dipandu oleh nafsu dan seterusnya ketidakseimbangan dalam pembentukan diri seseorang individu. Ini kerana apabila ruh kuat kuat nafsu akan lemah. Ruh perlu diperkuatkan dengan amalan-amalan harian yang berterusan dan istimrar bagi melemahkan nafsu.


Tanpa ruh yang kuat akan wujudlah individu yang nampak wara’ tetapi hati kotor dan busuk, pandai berkata-kata dan berilmu tinggi tetapi nafsu kuat, berilmu tetapi tidak mengamalkannya dan sebagainya. Oleh itu pentarbiyyahan ruhiah perlu diberi penekanan yang tegas dalam pembentukan seorang individu muslim.


Sebagai contoh kita lihat semasa zaman Rasulullah, peringkat pentarbiyyahan pertama yang Rasulullah terima dari ALLAH adalah pentarbiyyahaan syadid dari sudut pembinaan ruhiah yang kuat di mana disebutkan dalam surah Al-muzammil. Allah telah mewajibkan Nabi pada awal kenabian untuk berqiamulail beserta modul yang Allah telah gariskan iaitu 1) dilakukan selama setahun 2) dilakukan ½ malam atau kurang sedikit atau 2/3 malam. Jelas disini kepentingan Tarbiyyah ruhiah itu dalam pembentukan individu muslim yang kuat sehingga tarbiyyah pertama yang Nabi Muhammad terima adalah pembinaan kekuatan ruh.


Akal


Akal juga merupakan elemen yang penting bagi manusia. Kerana beramal tanpa tanpa ilmu kita akan sesat. Akal penting bagi memandu dan hidup. Akal yang waras adalah akal yang boleh membezakan yang baik dan buruk dan boleh mengarahkan pemiliknya ke arah kebaikan


Pembinaan akal boleh dicapai melalui thaqafah yang mana merangkumi ilmu, pengetahuan dan kebudayaan. Thaqafah ini boleh dicapai dengan ceramah, kuliah, pembacaan, pengalaman dan lain-lain. Thaqafah ini meliputi pelbagai bidang ilmu dan pengetahuan termasuk, isu-isu semasa, siasah dan sebagainya. Thaqafah perlu digarap dan diimplimentasikan serta dipraktikkan ke arah perubahan tingkahlaku yang lebih baik. Pembinaan kefahaman dalam pembinaan individu muslim itu juga penting kerana tanpa kefahaman yang betul kita akan sesat. Kerana ini Imam Hassan Al-Banna menggariskan kefahaman sebagai perkara yang pertama dalam rukun baiah. Oleh, kefahaman yang sempurna dan berdasarkan islam yang sebenar perlu diterapkan dalam diri bagi membentukan individu muslim yang berperibadi muslim dan faham tugas sebagai muslim .


Namun, seseorang individu itu tetap perlu mempunyai ruhiah yang kuat sebagai gandingan akal bagi membentuk individu yang sempurna. Tanpa ruhiah yang kuat manusia mungkin akan lemah dan segala ilmu pengetahuan yang ada tidak digunakan dengan sebaiknya demi islam dan mungkin akhirnya akan lupus begitu sahaja dari kotak minda kerana tidak diamalkan.


Hati


Hati juga merupakan elemen tidak kurang pentingnya dalam pembentukan individu muslim. Hati kotor, hati rosak maka rosaklah diri. Hati merupakan pusat dalam diri yang berperanan penting dalam mengawal akhlak dan peribadi seseorang. Seseorang yang berhati bersih akan melahirkan individu yang berakhlak mulia, dekat dengan Allah dan sebagainya.


Masalah hati antara masalah yang terbesar yang boleh menyebabkan kebejatan dalam gerak kerja Islam dan pembentukan individu muslim. Sebagai contoh sikap ria’, ujub, hasad dengki, buruk sangka, suka berniat jahat, khianat dan sebagainya. Selain itu, hati yang kotor juga mudah dipandu oleh syaitan. Ini kerana hati tempat syaitan membisikan dan membenamkan jarum-jarum kejahatan dalam diri manusia serta menyebabkan hubungan dengan ALLAH semakin jauh. Bila mana hati semakin jauh dari Allah, akan semakin jauhlah diri kita dari rahmat Allah. Tanpa rahmat Allah kita mudah terjerumus dalam lembah kejahatan.


Oleh itu, hati perlu sentiasa dijaga dan disucikan dari semasa ke semasa dalam pembentukan diri seorang individu muslim. Untuk menjaga hati kita memerlukan kekuatan ruhiah. Hati perlu dibersihkan dengan sentiasa berzikir, membaca Al-Quran, solat malam dan sebagainya.


Nafsu.

Firah manusia mempunyai nafsu dan tanpa nafsu manusia tidak boleh meneruskan kehidupan. Namun, nafsu juga elemen yang boleh membawa manusia kepada kerosakan. Sebahagian ulama membahagikan tingkatan nafsu ini kepada 7 peringkat iaitu;

1. Nafsu Ammarah (Gagal)

2. Lawwamah ( Lemah)

3. Mulhamah (Lulus)

4. Mutmainnah (Baik)

5. Radhiah (Sangat baik)

6. Mardhiah (Cemerlang)

7. Kamilah (sangat cemerlang)


Nafsu ammarah biasanya mengajak manusia suka kepada kejahatan. Oleh itu, nafsu ammarah perlu dikekang, dikawal supaya tidak mendominasi diri dan mengajak diri kita suka melakukan perkara kejahatan. Maka pentarbiyyah perlu juga menyentuh nafsu supaya nafsu terdidik untuk suka ke arah kebaikan dan seterusnya mampu membentuk diri menjadi individu yang mengamalkan Islam secara sepenuhnya serta mencapai nafsu mutamainnah. Nafsu mutmainnah merupakan tingkat tertinggi bagi manusia kerana ia berjaya memenjara nafsu jahat sehingga jiwa pemiliknya sentiasa tenang.


Allah telah befirman dalam Suratul Al-Fajr: 27 – 30 yang bermaksud,

Hai jiwa yang tenang (mutmainnah)! Kembalilah kepada tuhanmu dengan rasa reda lagi diredai. Masuklah ke dalam kumpulan hamba-hambaKu dan masuklah ke syurgaKu.”


Persoalannya bagaimana untuk mendidik nafsu? Kekuatan ruh sahaja yang mampu menundukkan nafsu dalam diri. Nafsu perlu dikekang dengan melakukan solat-solat sunat, puasa dan sebagainya.


kesimpulan


Konklusinya, 4 elemen ini tidak boleh tidak, perlu diambil kira dalam pembentukan seorang individu muslim yang mana tarbiyah perlu menjurus menyentuh, dan dirangka mendasari 4 elemen tesebut. Namun, kekuatan ruh adalah aspek yang paling penting perlu ditekankan kerana ia merupakan tunjang utama untuk membentuk akal yang waras, hati yang bersih dan nafsu mutmainnah, seterusnya membentuk diri menjadi seorang muslim yang sempurna. Kekuatan hubungan dengan Allah adalah teras dan segala apa yag kita lakukan perlu bertitik tolak dari kekuatan aqidah kita kepada Allah kerana kita HANYA HAMBA-NYA. Kita langsung tiada daya tanpa kuasa dan kehendak-NYA. Maka hanya kepadaNYA tempat kita kembali, merujuk dan memohon pertolongan.

Mari Kuatkan Ruh!! Tumpaskan Nafsu!!